PERNIAGAAN butik kini menjadi popular dan dikatakan pilihan peniaga tempatan untuk membuka butik mereka sendiri.

Ada mengatakan kewujudan peniaga kecil dan baharu atas talian (online) bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan merupakan penyebab utama mengapa butik vendor makin dikenali.

Ini kerana objektif pembukaan butik vendor itu sendiri adalah membantu peniaga baharu dan sedia ada memasarkan produk mereka selain menggunakan platform online.

Butik vendor kebiasaannya dibuka oleh seorang peniaga yang juga merupakan pemilik butik tersebut dan membawa masuk produk-produk peniaga lain ke dalam butiknya.

Misalnya pemilik butik vendor menjual pakaian wanita, jadi dia akan membawa masuk peniagaan seperti menjual tudung, kasut, aksesori, beg tangan dan juga produk makanan serta kecantikan.

Ini kerana butik vendor berkonsepkan satu butik pelbagai barang dalam memudahkan pelanggan membeli-belah sambil bersantai, malah ada yang turut menawarkan konsep butik dan kafe kepada pengunjung.


Tolong  peniaga online baharu

Jika butik vendor yang lain lebih mementingkan produk daripada peniaga online yang sudah dikenali kerana memiliki banyak pengikut di laman sosial, berbeza pula dengan La Niar Boutique & Cafe (La Niar).

Pemilik La Niar Enterprise, Nor Idayu Abd Rahman berkata, butiknya sedia menerima produk daripada peniaga online baharu asalkan ia berkualiti dan memenuhi selera pelanggan.

“Saya buka butik vendor ini memang untuk membantu peniaga online. Saya pernah rasa jerit perih ketika memulakan perniagaan online pada 2010.

“Bukan itu saja, saya pernah berniaga di bazar dan dapat jualan RM60 untuk dua hari, sedangkan saya sudah habis RM300, tanpa pulangan. Sebab itu saya mengalu-alukan peniaga online yang mahu meletakkan produk mereka di sini termasuk yang masih baharu,” katanya membuka La Niar di Alam Avenue 2, Shah Alam, Mac lalu.

Walaupun masih baru, Nor Idayu berkata, sebanyak 18 vendor atau peniaga online yang menjual pelbagai jenis barang terdiri daripada tudung, selendang, pakaian, makanan, produk kesihatan, kasut dan aksesori menyewa di butiknya.

“Saya tidak mengenakan sewa yang mahal kepada peniaga online iaitu antara RM200 hingga RM250 sebulan bergantung kepada jenis produk mereka.

“Kalau makanan, saya hanya ambil komisen antara 10 hingga 15 peratus kerana produk makanan ada tarikh luput,” katanya yang membuat pelaburan awal lebih RM30,000 untuk La Niar.

Sebelum membuka La Niar, Ayu hanya peniaga online yang menjual pelbagai tudung dan selendang buatan sendiri.

“Bila saya buka La Niar, saya cari vendor menerusi laman sosial dan jsaya juga hubungi semula rakan-rakan yang sama-sama berniaga di bazar supaya letak produk mereka dalam butik saya,” katanya.

Ditanya mengenai kelebihan butik vendor berbanding perniagaan online, Ayu berkata, ia membolehkan pelanggan melihat sendiri stok yang dijual, selain menikmati harga yang murah.

“Harga barangan peniaga online di sini dijual murah. Kadang kala harganya akan jadi lebih murah di butik sebab peniaga online ini turunkan harga sempena mempromosikan produk mereka.

“Sebagai promosi, pelanggan yang membeli baju di sini, akan menerima tudung percuma. Walaupun baju itu daripada vendor lain, tetapi saya tetap akan beri tudung rekaan saya supaya pelanggan puas hati dan datang lagi ke sini,” katanya.

Keistimewaannya, Ayu berkata, La Niar menyajikan minuman percuma kepada pelanggannya selain menyediakan kemudahan seperti tempat kanak-kanak bermain dan ruang menunggu untuk berehat.

“Untuk ibu yang bawa anak memang sesuai beli-belah di sini. Begitu juga, golongan lelaki kadang kala bosan bila menemani isteri masing-masing beli-belah. Jadi kita sediakan ruang rehat untuk mereka di sini,” katanya.

Semua produk di La Niar dijual pada harga antara RM2 hingga RM100.

Selain itu, La Niar turut menerima tempahan jahitan tudung mengikut kehendak pelanggan dengan harga berpatutan.


Bantu kembang industri

Walaupun baru memulakan perniagaan online Disember tahun lalu, Robok Puteh kini memiliki sebuah butik di Seksyen 11, Shah Alam dan menjadi vendor kepada lima butik vendor.

Pengasas Butik Robok Puteh, Radin Ruziana Radin Ibrahim berkata, produknya seperti gelang tangan, pin hijab, rantai dan gelang Pandora dipasarkan di butik vendor di Kluang, Ipoh, Kemaman, Sungai Petani dan Melaka, selain turut dijual atas talian.

“Di Butik Robok Puteh di Shah Alam yang berkonsepkan vendor, aksesori ini menjadi produk utama kami, manakala produk lain dari 15 vendor kami.

“Dalam tempoh terdekat ini, produk Robok Puteh juga akan memasuki sebuah lagi butik vendor di Melaka. Usaha ini adalah sebagai tanda sokongan kami kepada industri butik vendor supaya lebih banyak produk boleh didapati dalam sebuah butik,” katanya.

Radin Ruziana berkata, konsep butik vendor menjadi pilihannya kerana ia menyajikan pelanggan pelbagai pilihan.

“Kami ada aksesori buatan sendiri, tidak mungkin dalam satu butik hanya jual aksesori saja. Jika hendak jual banyak barang, ia perlukan modal  besar. Jadi kami perlukan vendor untuk mempelbagaikan barang supaya pelanggan ada banyak pilihan.

“Selain itu, kami juga boleh membantu peniaga online memasarkan produk mereka di sini,” katanya.

Menurutnya, Robok Puteh hanya mengenakan sewa RM50 sebulan terhadap vendornya dan mengambil komisen 10 peratus daripada jualan bulanan peniaga online tersebut.

“Ada juga vendor yang tidak mampu bayar sewa, jadi kami gunakan konsep ‘consignment’ (letak barang di butik dan komisen akan diambil jika barang terjual). Untuk konsep ini, saya kenakan komisen antara 15 hingga 20 peratus,” katanya.

Berbeza dengan butik eksklusif, Radin Ruziana berkata, butik vendor lebih santai dan sesuai untuk semua pelanggan.

“Harga kami tawarkan juga tidak begitu mahal dan mampu dimiliki iaitu dari RM2 hingga RM200. Kalau promosi, ada barangan tertentu boleh turun harga sehingga RM1.

“Pelanggan juga boleh ambil gambar dan kalau berminat dengan barangan di sini, dia boleh buat ‘dropship’ ,” katanya.

BAGI pemilik juga Pengarah Urusan butik vendor Sincerely By Us (SBU) Noor Inora Putri Noorzainy pula berkata, dalam perniagaan butik berkonsepkan vendor, kedua-dua pihak iaitu pemilik butik serta vendor perlu memainkan peranan membuat promosi dan pemasaran.

“Kerana itu saya sedikit memilih menerima siapa vendor saya.

“Bukan mudah menjaga vendor, kerana itu setiap vendor di butik saya akan guna kontrak tempoh tiga ke enam bulan,” katanya.

Ditanya mengenai sewa dikenakan, Noor Inora Putri berkata kadar sewa dikenakan berbeza mengikut jenis produk dan keluasan tapak, bermula serendah RM300 hingga RM1,000.

“Bagi merancakkan jualan, SBU dan vendor-vendor di bawah SBU akan bekerja sama buat promosi jualan sebulan sekali selain memperkenalkan produk terbaru,” katanya.